## Kuala Lumpur: Usia cahaya matanya baru 46 hari, malah sudah merancang mengadakan kenduri aqiqah hujung bulan ini, tetapi awal pagi tadi dia dijemput Ilahi.....
Apa yang berlaku menyayat hati kerana ‘perginya’ Ali Hazman Md Din, 27, ketika dia membantu mangsa kemalangan membabitkan kereta dan motosikal di Lebuhraya Connaught berhampiran susur Bandar Tun Razak, 11 malam tadi.....
Ali Hazman yang juga penghantar pos berpejabat di Daya Bumi meninggal dunia kira-kira 1 pagi di Pusat Perubatan Universiti Kebangsaan Malaysia (PPUKM) selepas dilanggar kereta dipandu lelaki dipercayai mabuk.,,,
Dia dilanggar bersama pemandu kereta dan penunggang motosikal yang terbabit kemalangan dan tiga lagi penunggang motosikal lain yang turut berhenti untuk membantu.
Keempat-empat penunggang motosikal itu cedera dan dirawat di PPUKM...
Isteri Ali Hazman, Nadirah Razak,27, berkata, kira-kira dua minggu lalu, suaminya meninggalkan pesan supaya menjaga anak perempuan mereka dengan baik..
"Saya bertanya mengapa dia meminta sedemikian, tetapi arwah hanya berkata bahawa ia hanya satu pesanan.
"Kami merancang untuk mengadakan kenduri aqiqah hujung bulan ini dan semua persiapan sudah dibuat dan arwah sangat teruja.
"Saya tidak sangka dia pergi meninggalkan kami," katanya ketika ditemui di PPUKM pagi tadi.
Katanya, dia cuba menghubungi suaminya pada 10.30 malam tadi, tetapi gagal sebelum menerima panggilan dari pihak hospital....
"Bagaimanapun, setiba saya di hospital arwah disahkan meninggal dunia," katanya.
Menurutnya, suaminya dikebumikan di Tanah Perkuburan Alam Damai, Cheras, petang tadi.
Abang Ali Hazman, Mohd Yazid, 35, berkata, selepas 30 minit adiknya menerima rawatan, doktor mengesahkan adiknya meninggal dunia kerana mengalami pendarahan yang serius hingga menyebabkan buah pinggang arwah gagal berfungsi....
Seorang daripada penunggang motosikal yang cedera, Mohamad Jusoh Miskun, 41, berkata, arwah bersungguh-sungguh mahu membantu mangsa kemalangan itu sebelum dirempuh kereta.
"Saya ternampak seorang lelaki dan seorang wanita berada di tepi jalan di susur keluar ke Bandar Tun Razak sebelum memberhentikan motosikal....
"Wanita yang menunggang motosikal itu terlanggar sebuah kereta Perodua Myvi milik seorang lelaki. Bagaimanapun selepas beberapa minit berbincang untuk membantu menyelesaikan kemalangan itu, tiba-tiba sebuah kereta merempuh kami,"katanya ketika ditemui di PPUKM
Menurutnya, dia bersama lima lagi mangsa yang berada di tempat kejadian tercampak selepas dirempuh kenderaan berkenaan...
"Saya ternampak arwah tercampak jauh dari kawasan kami, kerana sebelum kami bersurai dia berjalan lebih kurang 50 meter dari kami berkumpul untuk membuat panggilan," katanya.
Katanya, selepas hampir 15 minit Jusoh yang cedera dikaki dibawa ke Wad Kecemasan PPUKM untuk dirawat....
Pemandu Myvi, Yun Teng Fung, 23, yang turut cedera kesal dengan apa yang berlaku dan mengucapkan terima kasih kepada insan prihatin yang membantunya....
"Terima kasih kepada tiga penunggang motosikal yang membantu selepas kereta milik saya dilanggar, tetapi saya tidak sangka mereka turut menjadi mangsa dirempuh seorang pemandu dipercayai mabuk sehingga seorang daripada penunggang motosikal itu maut," katanya.
Menurutnya, dia yang dalam perjalanan pulang ke rumahnya di Cheras tiba-tiba dilanggar oleh sebuah motosikal di Lebuhraya Connaught...
"Saya dilanggar sebuah motosikal dari arah belakang sebelum memberhentikan kenderaan di lorong kecemasan...
"Tiga penunggang motosikal lain turut berhenti untuk membantu, tetapi tiba-tiba datang sebuah kereta dari arah belakang dan merempuh kami di bahu jalan itu. Saya tercampak sebelum tidak sedarkan diri," katanya yang patah kaki kiri dan cedera di tangan...
Sementara itu, Pegawai Turus Siasatan dan Perundangan Trafik Kuala Lumpur Deputi Superintendan S Markandan ketika dihubungi Harian Metro mengesahkan kejadian dan berkata, kes disiasat mengikut Seksyen 41(1) Akta Pengangkutan Jalan 1987...
"Pemandu yang merempuh lima mangsa sudah ditahan untuk siasatan dan kita menunggu laporan analisis jabatan kimia untuk menentukan sama ada pemandu berkenaan memandu dalam keadaan mabuk atau tidak," katanya ketika dihubungi, petang tadi...
Sumber : http://www.hmetro.com.my/
0 comments:
Post a Comment