Monday, 1 June 2015

Ibu Bapa Kanak-kanak Yang Dibunuh Dan Disimen Ditahan, Jiran Dakwa Mangsa Didera


KUALA LUMPUR: Polis menahan sepasang suami isteri untuk membantu siasatan penemuan satu mayat yang bersimen dan mereput di sebuah rumah di Taman Usaha Jaya, Kepong semalam.

Suspek lelaki, 33, disyaki bapa kepada mangsa itu ditahan di sebuah restoran di Keningau, Sabah pada jam 6.30 petang, semalam. Manakala suspek wanita yang juga ibu kepada mangsa ditahan di Penampang pada jam 1 pagi hari ini.

"Kedua-dua mereka akan dibawa dari Sabah ke Ibu Pejabat Polis Daerah Gombak, dijangka esok, untuk siasatan dan mengambil keterangan berhubung kes ini," demikian menurut Ketua Polis Daerah Gombak ACP Ali Ahmad.

Mayat tersebut adalah seorang kanak-kanak lelaki berusia antara lapan hingga 10 tahun dan dipercayai didera dan dibunuh oleh bapanya. Berdasarkan keterangan beberapa orang saksi yang juga jiran kepada penyewa berkenaan, mereka sering mendengar lelaki berkenaan memukul anak-anaknya sebelum bertindak menghilangkan diri bersama keluarga sebulan yang lalu.

Ten Heen, 64 mendakwa lelaki itu kelihatan bengis, sering mengelak dari bertegur sapa dengan jiran-jiran, malah sering mendengar anak-anak jirannya itu sering menangis kesakitan kerana dipukul.

"Saya sering melihat tiga dari empat anaknya balik dari sekolah, namun kesemua anaknya termasuk ibu bapa mereka tidak pernah bertegur sapa dengan jiran-jiran termasuk saya," katanya.
 
"Walaupun hampir lapan bulan mereka menyewa di sini, saya langsung tidak mengenali keluarga itu," katanya. 
 
Lebih lanjut, Ten mendakwa ada mendengar bunyi seperti orang mengegrudi di bahagian dapur, namun tidak mengesyaki sesuatu yang luar biasa.

"Menurut abang ipar saya yang merupakan pemilik rumah itu, penyewa itu hendak membaiki tandasnya yang rosak.
 
"Setelah penyewa itu melarikan diri, abang ipar saya membuat pemeriksaan di rumah itu dan mendapati ada tubuh yang dibalut dengan plastik di dalam lubang yang telah disimen," katanya.
 
Ketua Polis Daerah Gombak ACP Ali Ahmad mengesahkan mayat yang ditemui itu dipercayai seorang kanak-kanak lelaki berumur antara lapan dan 10 tahun dan dipercayai mati sejak lapan minggu lepas.
 
Mayat itu ditemui susulan kontraktor yang sedang mengubah suai rumah berkenaan memecahkan simen dapur itu berikutan terhidu bau busuk.

sumber: http://www.siakapkeli.my/

0 comments:

Post a Comment